RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan meneruskan operasi menangkap anjing liar di Taman Desa Kemuyang minggu depan bagi memastikan keselamatan awam di kawasan berkenaan terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar MDLBS Kevin Lau berkata, pihaknya menyedari kehadiran anjing liar yang berkeliaran dan mengganggu penduduk di kawasan tersebut.
“Kami telah menjalankan operasi minggu lalu dan berjaya menangkap beberapa ekor anjing.
“Operasi ini akan diteruskan minggu hadapan sehingga kawasan itu benar-benar selamat untuk orang awam bersantai dan meluangkan masa lapang mereka,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan penduduk yang mendakwa sekumpulan anjing liar sering berkeliaran dan mengganggu ketenteraman di kawasan perumahan tersebut.
Pada Selasa, seorang penduduk di kawasan perumahan terbabit mendakwa, anjing-anjing tersebut bukan sahaja menyelerakan sampah sehingga mencacatkan pemandangan, malah turut menyerang penunggang motosikal dan pejalan kaki secara rambang.
“Anjing-anjing itu biasanya kelihatan berkeliaran antara jam 8 hingga 9 pagi dan sekali lagi sekitar jam 3 hingga 4 petang.
“Disebabkan ketakutan terhadap anjing-anjing ini, kanak-kanak di kawasan ini tidak lagi berani bermain di luar rumah seperti kebiasaan,” katanya.
Sehubungan itu, Lau mengingatkan pemilik anjing agar bertanggungjawab dengan memastikan haiwan peliharaan mereka tidak berkeliaran bebas.
“Anjing yang ditangkap tidak akan dikembalikan. Jika anda sayangkan haiwan peliharaan anda, pastikan ia sentiasa berada dalam kawasan rumah,” tegasnya.
Menurutnya, MDLBS memandang serius isu ini memandangkan masih terdapat laporan kes rabies dari semasa ke semasa.
Beliau turut mengingatkan pemilik haiwan peliharaan agar memastikan anjing mereka diberi vaksin mengikut peruntukan Seksyen 40 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.