RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengelakkan kebakaran merebak dalam satu kejadian di Permai Timur, di sini, malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran itu hanya melibatkan sebuah kabinet penyimpanan perkakas kebun yang diletakkan di luar rumah dua tingkat jenis berkembar tersebut.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah yang menerima panggilan kecemasan pada jam 11.03 malam, tiba di lokasi kejadian pada jam 11.18 malam.
“Kebakaran hanya melibatkan sebuah kabinet di luar rumah dan tidak menjejaskan struktur utama kediaman.
“Anggaran kemusnahan adalah sekitar satu peratus dan tiada mangsa dilaporkan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dan berjaya mengelak kebakaran daripada terus merebak.
“Kerja-kerja pemadaman sisa (overhaul) turut dilaksanakan bagi memastikan tiada kebakaran berulang,” tambahnya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah malam.
Turut membantu di lokasi kejadian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).