RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Enam unit berek tidak berpenghuni di Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-10 Kem Lanang, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.58 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi sejauh kira-kira enam kilometer dari balai.
"Kebakaran melibatkan satu blok berek 10 pintu yang tidak berpenghuni, di mana enam pintu telah musnah terbakar manakala empat pintu berjaya diselamatkan," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Operasi pemadaman itu turut dibantu pasukan dari BBP Sungai Merah.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.39 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.55 malam.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Turut sama membantu operasi ialah empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).