Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Tebingan Pulau Li Hua berpotensi jadi tapak utama sukan air bertaraf antarabangsa

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Tebingan Pulau Li Hua yang menjadi lokasi Sibu International Powerboat Race (SIPBR) 2025 berpotensi dimajukan sebagai tapak utama sukan air bertaraf antarabangsa, kata Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.

Beliau berkata, dengan pembangunan fasiliti yang tepat, Sibu mampu meletakkan dirinya di peta sukan air dunia, sekali gus memperkukuhkan kedudukan bandar itu sebagai hab pelancongan dan sukan bertaraf global.

“Kita telah memulakan satu tradisi, dan saya yakin Sibu International Powerboat Race akan terus berkembang menjadi acara bertaraf dunia yang bukan sahaja memacu pelancongan dan ekonomi, tetapi juga melahirkan lebih banyak juara sukan air dari Malaysia," katanya dalam ucapan penangguhan SIPBR2025 di Tebingan Pulau Li Hua, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, Setiausaha Penganjur SIPBR2025 Maria Nadja Jimmy dan yang lain.

Beliau menegaskan bahawa penganjuran SIPBR2025 membuktikan Sibu bukan sekadar sebuah bandar kecil, sebaliknya sebuah komuniti besar yang penuh semangat persatuan dan berpotensi besar untuk terus berkembang di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Abang Mohamad Porkan berkata, impak ekonomi daripada penganjuran acara itu amat ketara, khususnya kepada sektor pelancongan komuniti, perniagaan tempatan dan usahawan kecil.

“Sektor pelancongan komuniti, produk tempatan, makanan warisan dan kraftangan mendapat perhatian yang lebih luas, membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk berkembang," katanya.

Katanya lagi, selain memacu ekonomi, SIPBR2025 turut memperlihatkan semangat kesukanan tinggi dalam kalangan peserta, di samping mempererat hubungan masyarakat berbilang latar belakang dan budaya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan acara tersebut.

Acara itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu dengan kerjasama strategik Kelab Sukan Rekreasi Pulau Li Hua serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Li Hua.

Sementara itu, SIPBR2025 berlangsung dari 25 hingga 27 April menghimpunkan 262 bot dari pelbagai kategori termasuk penyertaan dari negara jiran Brunei.

Penganjuran acara sukan air ini berjaya menarik kehadiran ribuan penonton dari dalam dan luar kawasan Sibu.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman