RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cabang Sibu hari ini mengumumkan pengambilan tiga bayi lelaki yang baru dilahirkan sebagai anak angkat sempena sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2025.
Menurut Naib Pengerusi PBSMM Cabang Sibu Normah Abdul Rahman, ketiga-tiga bayi tersebut dilahirkan di Hospital Sibu awal pagi ini.
“Tiga bayi pertama ini dilahirkan di Hospital Sibu untuk dijadikan anak angkat PBSMM Cabang Sibu sempena Hari Palang Merah Sedunia tahun ini,” katanya.
Bayi pertama ialah anak kepada Kupa Enchana yang dilahirkan pada jam 12.36 pagi dengan berat 1.46 kilogram.
Bayi kedua pula merupakan anak Callestte Devi Lim yang dilahirkan pada jam 3.03 pagi dan seberat 2.88 kilogram.
Sementara itu, bayi ketiga ialah anak Menun Igan yang dilahirkan pada jam 3.26 pagi dengan berat 2.15 kilogram.
Normah berkata, program anak angkat ini merupakan sebahagian daripada usaha kemanusiaan PBSMM untuk mendekati komuniti setempat, selain memupuk kesedaran tentang kepentingan bantuan dan sokongan kemanusiaan sejak dari awal kehidupan.
Ketiga-tiga bayi tersebut telah menerima cenderamata dan hadiah daripada PBSMM Cabang Sibu yang disampaikan oleh Normah.
Sambutan Hari Palang Merah Sedunia diraikan setiap tahun pada 8 Mei bagi memperingati kelahiran pengasas Palang Merah Henry Dunant dan menghargai jasa sukarelawan serta pekerja kemanusiaan di seluruh dunia.