RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Tindakan pantas polis susulan maklumat orang awam membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Kampung Bahagia Teku, di sini semalam.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu malam tadi, suspek diberkas oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit MPV ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek menyimpan beberapa barangan yang dipercayai hasil daripada kejadian pecah rumah,” menurut kenyataan itu.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Merah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan sehingga berjaya membantu dalam usaha membanteras jenayah di daerah ini.